Burung murai merupakan burung yang paling mesra bunyinya di kampung. Kicauan burung murai sangat indah didengari dan orang orang tua pernah memberi takrifan bilamana burung murai berkicau nyaring dan rancak sekali menandakan ada tetamu akan datang dan selalunya ramalan ini nyata benar sekali. Keindahan kampung serta kemesraan alamnya selalu dikaitkan dengan kicauan burung dan murailah pula yang biasanya berkicau.
Burung kecil sebesar merbah ini memang tiada sepadan dengan bunyinya. Kecil tetapi deras menyanyi. Ia memakan cacing dan juga ulat ulat dan sudah tentunya banyak menghabiskan masa di atas tanah untuk mencari makan. Sarangnya pula di dalam lubang lubang kayu atau pun ada kalanya di batang enau yang berijok dan ini memudahkan ianya membuat sarang dengan kemudahan yang sudah tersedia.
Di luar negara seperti New Zealand saya pernah melihat burung ini tetapi saiznya amat besar sekali, sebesar ayam dan mereka memanggilya dengan nama MAGPIE. Oleh kerana cuaca sejuk saya tidak berkesempatan memerhati lama dan mendengar kicauannya, mungkin lagi rioh dan kuat berbanding dengan murai kita.
Burung murai ini patut benar dijaga dan dibiakkan kerana mesra alamnya yang sangat menonjol sekali. Tanpa murai, suasana kampung akan muram sekali tanpa kicauan mesra mereka. Anak anak kita membesar dengan ingatan indah seperti kicauan burung murai di kampung, maka ianya perlu berterusan sampai bila bila pun.
Sila klik URL di bawah ini untuk melihat cerita murai, iaitu Video Hari Raya Petronas yang yang mengisahkan ".....burung apa ni Bah? Burung murai nak"
http://www.youtube.com/watch?v=v6ty1OB8uEI